Saturday, September 20, 2014

Ujian Darah dan Cuci Darah

Seminggu selepas aku mencuci darah tempoh hari, aku membuat ujian darah. Selain daripada hendak melihat apa kesan daripada pencucian darah, memang aku membuat ujian darah tiga bulan sekali sebagai langkah pengawasan kesihatan diri.

Pada hari Khamis, 18 September 2014, aku perlu membuat cucian darah kali ke-2, dan terus mengambil keputusan ujian darah yang telah dibuat di tempat yang sama. Alhamdulillah, keputusan ujian darah kali ini memberikan keputusan yang baik, kecuali uric acid dan enzim dalam Liver funtion test yang menunjukkan bacaan border line. Kolesterol dan kandungan gula di dalam darah menunjukkan keputusan yang bagus. Alhamdulillah ... Alhamdulillah ... selama ini tahap kolesterol dan gula dalam darah susah sangat nak turun. Dan, yang paling penting sekali cancer marker menunjukkan keputusan yang baik.

 Haematology

 Renal Function dan Liver Function Test

 Lipid Profi
 Immunilogy

Cancer marker

Dah puas 'menelek' ujian darah, aku meneruskan prosedur pencucian darah. Sebenarnya, aku terasa letih dan mengantuk disebabkan malam tu mengalami masalah tidur. Apa lagi, masa proses pencucian aku pun 'terbang' ... Masa yang diambil untuk mencuci darah lebih kurang sejam, maka lenalah aku tidur. Jangan aku terbedengkur sudah!!

Aku tersedar setelah pencucian selesai; segar rasanya. Kali ini toksik pun dah kurang, iaitu 350 ml berbanding dengan yang pertama dulu, iaitu 800 ml. Dalam masa 2 minggu lagi, aku perlu mencuci darah lagi buat kali ke-3. Mudah-mudahan, semuanya akan ok. Nak kata ok sekarang terlalu awal. Keberkesanannya perlu dilihat setelah beberapa bulan nanti, insya-Allah.     

Saturday, September 6, 2014

Cuci Darah

Salah seorang sahabatku, Ita, telah bercerita tentang rawatan berbekam, yang terdapat di Bangi. Sebelum ni pun, sahabatku daripada kumpulan Yassin juga bercakap mengenainya. Aku teringin pula nak mencubanya kerana aku sering sakit kepala dan badan terasa berat, dengan harapan usahaku hendak berbekam itu dapat membantu melegakannya. Namun, dari sehari ke sehari aku belum berkesempatan hendak pergi membuat janji temu.  

Beberapa hari lalu, Ita bercerita pula tentang pencucian darah di klinik ozon dan telah menjalaninya. Aku pun berhasrat nak menjalaninya juga, dan rasanya ia lebih berkesan daripada berbekam. Abah (suami) juga mencadangkan aku melakukannya, atas nasihat pegawai medik di tempat kerja abah. Lantas, semalam aku dan abah pergi mencari klinik tersebut, yang terletak di Bangi, dan terus membuat janji temu.


Klinik ozon berkenaan, di Bangi

Pada hari Jumaat, 5 September 2014 jam 11.00 pagi, aku di klinik ini untuk menjalani pencucian darah. Masuk ke dalam, tengok-tengok tak ada orang pun kecuali seorang petugas yang baru membuka klinik agaknya. Wah, baguslah ... cepatlah aku selesai nanti. Aku pun terus mendaftar di reception, dan kemudian menunggu petugas membuat persediaan. Sambil menunggu, aku meninjau-ninjau bilik rawatannya.


Reception
Bilik rawatan

Setelah selesai petugas membuat persediaan, aku dipanggil masuk. Mula-mula, petugas mengambil tekanan darah. Kemudian, beliau menyuntik lengan kiriku untuk menyediakan saluran darah keluar. Selepas itu, disuntik pula tangan kananku untuk menyediakan saluran darah masuk semula selepas dicuci. Saluran masuk darah terpaksa dibuat di urat belakang tapak tangan kerana saluran darah di lenganku hilang! Memang sejak selepas menjalani rawatan kanser dulu, salur darah di lengan kananku tidak timbul lagi.


  Menyediakan saluran untuk darah keluar dan masuk semula


Darah yang keluar di tangan kiri, dan masuk di tangan kanan

Melihat darah yang keluar memeranjatkanku. Pertamanya, darahku kelihatan sangat pekat. Mengikut petugas, itu menandakan aku kurang minum air kosong. Keduanya, darahku keluar berbuih-buih dan nampak berketul-ketul putih. Menurut petugas, itu menandakan darahku mengandungi toksin dan lemak. Mungkin itulah yang menyebabkan terdapatnya kolesterol di dalam tubuhku. Darah yang telah dicuci dan masuk semula kelihatan bersih jer.


 Kotornya darah yang keluar - buih dan lemak

Darah bersih yang masuk semula, dan toksin daripada darah yang dicuci


Mesin pencucian darah

Sementara aku menjalani proses pencucian darah, Wani dan Yana yang menemaniku pula ambil darah untuk ujian darah. Lebih kurang satu jam, aku selesai menjalani proses pencucian darah. Petugas menunjukkan cecair toksin yang diekstrak daripada darahku. Terdapat 800 mililiter toksin yang keluar daripada darahku. Petugas menasihatiku supaya meminum air yang banyak selepas ini.

Alhamdulillah, semuanya telah selesai. Proses yang dijalani tidak menyakitkan. Petugas begitu profesional mencari saluran darah yang hendak dicucuk untuk menyediakan saluran darah keluar dan masuk. Semasa berbual-bual dengan petugas, sememangnya petugas adalah jururawat yang terlatih. Sebenarnya, aku fobia apabila dicucuk begitu kerana sering kali salur darahku telah tenggelam dan apabila aku hendak membuat ujian darah, aku sakit semasa proses pengambilan darah, mungkin petugas tidak begitu mahir.

Dalam proses pencucian darah ini, aku mengambil pakej 3 kali pencucian kerana ini adalah pertama kali aku menjalaninya. Menurut kebiasaannya, aku perlu menjalaninya lagi dalam masa 5 hari. Namun, memandangkan aku seorang cancer survivor, tempoh pencucian seterusnya adalah dalam masa dua minggu lagi, insya-Allah. Semoga usahaku ini dapat membantu menyembuhkan aku daripada tekanan darah (yang tinggi selepas aku menjadi pesakit kanser dan selesai rawatannya), serta menurunkan paras kolesterol dan glukos di dalam darahku ke tahap yang normal dan sihat, aamiin. Sebagai manusia, aku perlu berikhtiar, namun Allah yang mengizinkan untuk aku sembuh. 

Ikhtiar, doa dan tawakkal 


Monday, September 1, 2014

Survellience Colonoscopy, Ogos 2014

Pada bulan April 2014, aku telah ke Hospital Putrajaya untuk menjalani pemeriksaan dan janji temu prosedur kolonoskopi. Aku telah diberikan tarikh 11 Ogos untuk menjalani prosedur kolonoskopi. Alhamdulillah ... selepas hari raya puasa. Sebelum balik, aku dibekalkan dengan dua botol garam pencuci perut yang perlu diambil sebelum prosedur.

Tarikh janji temu

Garam pencuci perut

Apabila tarikh prosedur tiba, tiga hari sebelumnya aku tidak boleh memakan makanan yang berserat (hanya makan Fibre free foods). Alahai torture rasanya, al-maklumlah bulan raya bermacam-macam makanan terhidang di depan mata apabila ramai yang mengadakan rumah terbuka. Sabar jerlah. Sehari sebelum prosedur pula, aku boleh makan bubur dan air tanpa warna sahaja ... lagi tortureKemuncaknya adalah pada petang 10 Ogos, iaitu aku mesti mula minum sebotol garam pencuci  perut yang telah dibekalkan dahulu. 

Sehari sebelumprosedur, pada paginya jiranku mengadakan rumah terbuka sarapan pagi. Aku minum dan ambil kuah sup sahaja. Selepas tu, aku dan abah kena balik kampung pula untuk menghadiri perbincangan anak Saba yang akan berkawin pada bulan Oktober nanti. Sebelum ke rumah Saba, kami balik ke rumah mak dulu. Selepas solat zohor barulah kami pergi ke rumah Saba. Juga ... aku terpaksa menahan selera ... Aku hanya makan bubur yang ku bawa dari rumah. 
Balik dari rumah jiran untuk ke kampung

Di rumah Saba, pada pukul 4 petang aku mesti minum dos pertama (45 ml) garam pencuci perut yang ku bawa. Lebih kurang pukul 5 petang, aku dah mula berulang ke tandas. Tandas aku punya! Dah rasa lega, barulah aku dan abah mula bergerak dari rumah Saba dan balik ke KL. Pada pukul 8 malam, aku mesti minum (45 ml) dos kedua garam pencuci. Sekali lagi tandas aku punya, tetapi tidaklah sekerap selepas mengambil dos yang pertama. Selepas pukul 12 malam, aku tidak boleh makan atau minum langsung. Walau bagaimanapun, aku minum juga air kosong sedikit untuk menghilangkan kekeringan tekak.

Pada hari prosedur dijalankan, 11 Ogos 2014, pagi-pagi lagi selepas Subuh, aku dan Abah bergerak ke Hospital Putrajaya kerana janji temu adalah pada pukul 8 pagi; Wati pun ikut sekali menemaiku. Memandangkan kereta banyak dan tempat parking susah, aku dan Wati turun dahulu dan abah pergi mencari tempat parking kereta. 

Aku mendaftar untuk masuk wad, dan diarahkan ke Unit Rawatan Harian untuk pendaftaran rawatan pesakit luar sahaja. Aku diberikan tag nama dan perlu menukar baju hospital.

 Reception

Tempat rawatan


Tag nama yang dipakai di pergelangan tangan

Masuk ke dalam, aku disuruh berehat dahulu menunggu rawatan. Mula-mula, aku disuntik untuk saluran masuk ubat bius nanti dan kemudian berehat di ruang menunggu, menanti giliran untuk menjalani prosedur.

Suntikan untuk saluran masuk ubat bius

Kira-kira pukul 11 pagi, aku dipanggil untuk menjalani prosedur. Mula-mula, aku diberikan sedutan gas. Selepas lebih kurang 5 minit, aku disuntik dengan ubat bius dan terus hilang ... Sedar-sedar, aku sudah berada di bilik pemulihan. Selepas berehat beberapa minit dan terasa ok, aku pergi ke bilik menunggu semula. Aku dihidangkan dengan mi goreng dan air milo. Dah perut lapar, berselera sekali aku makan.

Setelah menunggu beberapa lama lagi, pihak hospital memberikan janji temu yang baru untuk menjalani prosedur kolonoskopi yang seterusnya nanti. Aku juga dimaklumkan keputusan prosedurku normal dan ok. Kemudian, aku perlu pergi ke tempat pendaftaran masuk wad semula untuk mendapatkan discharge letter dan balik.

Tarikh janji temu di klinik surgeri

Tarikh prosedur kolonoskopi yang akan datang

Discharge Letter

Janji temu di Institut Kanser Negara (IKN) pula adalah dalam masa yang terdekat ...

Buku janji temu IKN


Tarikh janji temu di IKN


Selesai semuanya, aku dan Wati berjalan pergi ke IKN, yang terletak bersebelahan dengan Hospital Putrajaya, kerana abah parking kereta di situ dan aku nak makan di kafe di IKN. Lapar nasi, aku terbayangkan pelbagai lauk yang terdapat di kafe tu. Selesai makan, kami pun balik. Ops ... sebelum tu, posing dulu ... 


Posing dulu ...

Sebelum balik ke rumah, kami singgah dulu di kedai ikan. Tujuannya nak membeli ikan, menggantikan ikan-ikan kami yang telah mati dahulu. Seronok melihat ikan-ikan yang dijual di kedai tu; jadi satu terapi pulak ...

 Ikan-ikan di dalam akuarium

 Ikan-ikan di dalam kolam takungan

Seronok bermain dengan ikan-ikan tu

Setelah puas melihat-lihat dan bermain-main dengan ikan, kami pun balik. Senangnya hati, ... satu perkara yang berat nak aku tempuhi telah selesai ditempuhi. Sebenarnya, aku sangat fobia nak menempuhi apa-apa prosedur atau rawatan selepas selesai semua rawatan dahulu. Memikirkan nak ke hospital pun berat sangat rasanya. Apa-apa pun, just go with the flow ... Allah maha mengetahui.


Alhamdulillah ... Alhamdulillah

Sila hayati muzik ini ... :)


Sesungguhnya ... 
Allah tidak akan memberikan ujian 
yang tidak mampu ditanggung oleh umat-Nya