Sunday, November 24, 2013

Ulang Tahun Perkahwinan yang Ke-29


Kembali ke tarikh 29 November 1984, dengan izin Allah SWT aku selamat diijabkabulkan menjadi isteri kepada insan yang bernama Norhisham. Dan, mungkin ketika ini jam 10.45 malam kami berada di atas pelamin di rumahku di Kampong Ampang Batu, Seri Menanti, Negeri Sembilan, menjalani upacara bersanding dan berinai.

Tiada apa-apa majlis sambutan untuk menyambut ulang tahun ini - tiada parti, tiada kek atau majlis doa selamat, apa lagi Abah berada di platform. Kalau Abah berada di darat pun, kami tidak akan mengadakan majlis-majlis seperti itu. Aku hanya bermohon ke hadrat Allah agar jodoh kami kekal hingga ke Jannah, dan kehidupan kami sentiasa sihat sejahtera di bawah limpah kurnia dan rahmat-Nya ...

Selama 29 tahun kami telah melalui ranjau duri, pahit manis hidup ini bersama

Aku sangat bersyukur kerana Allah telah mengirimkan kepadaku jodoh seorang insan yang sentiasa memberikan kasih sayang dan menjagaku sebaik-baiknya, terutamanya ketika kami diuji dengan penyakit kanser yang ku hidapi. Aku mengucapkan syukur ke hadrat Allah SWT yang telah menganugerahi kami dengan empat orang cahaya mata yang sangat sempurna hasil daripada perkahwinan ini ...

Mereka pengikat kasih kami dan menjadi perangsang terhadapku ketika berada dalam kesukaran

Sempena dengan hari ini, aku terharu apabila anak-anak telah menghadiahkan aku dengan seutas jam tangan yang sangat istimewa buatku. Hadiah untuk Abah kemudian kata mereka ...

Hadiah istimewa daripada anak-anak

Alhamdulillah ... Alhamdulillah ...


Monday, November 4, 2013

Mari Kita ke Ladang ...

Sejak akhir-akhir ini, tak tahu kenapa aku begitu malas sekali nak buat kerja-kerja yang selama ini memang aku suka melakukan dan telah menjadi darah dagingku, iaitu editing. Nak menghabiskan tugas yang dalam tangan sangat menekanku. Akan tetapi, akhirnya selesai juga dan betapa lega rasaya. Buat sementara waktu, aku tak terasa nak membuat kerja-kerja itu dahulu. Sampai bila, entah ... Yang pastinya, sekarang aku terasa nak relax-relax sahaja dan santai-santai melakukan apa-apa yang aku terlintas nak buat.

Memandangkan keputusan darah tempoh hari tidak baik, maka aku berazam hendak memberikan tumpuan kepada exercise. Setelah membeli threadmill, aku cuba mendisiplinkan diri untuk exercise dengan menggunakannya. Apabila Abah berada di darat, aku mengikut Abah pergi menebas kebun di kampung pula. Seronok, mengalir peluh diibuatnya.

Kebun dari jauh

Bersebelahan ialah pokok-pokok getah

Masuk ke kebun

Tanah ini dah lama kami beli dan pernah di bela dahulu, dibantu oleh tuan tanah yang telah menjual tanah itu kepada kami. Akan tetapi setelah beliau meninggal dunia secara tiba-tiba, tanah itu jadi semak samun semula. Akan tetapi, apabila aku dah bersara dan Abah pun akan bersara pada awal tahun depan, kami begitu bersemangat nak mengusahakannya, apa lagi ada seorang lagi yang sanggup membantu mengusahakan dan menjaganya. 

Pada peringkat awal, Abah menanam pokok-pokok buah-buahan dahulu dan meracun serta menebas semak-semak yang telah membesar. Apabila Abah dah bersara nanti kami berhasrat untuk membuat rumah rehat/bercuti kami; rumah untuk kami keluarga dan kawan-kawan berkumpul. 

Apa yang menarik sekali tanah kami ini ialah kawasannya dipenuhi batu-batu. Mana-mana batu yang besar telahpun kami letupkan ... 

Antara serpihan batu yang telah kami letupakn

Batu belah batu bertangkup! hehehe

Terdapat pelbagai flora dan fauna juga ...

Antara flora liar yang terdapat dalam kebun

Di hulu sungai terdapat air terjun yang tinggi (aku tak pernah sampai lagi) ...

Air terjun yang agak tinggi di hulu sungai

Di bahagian bawah dalam kebunku pula terdapat beberapa air terjun yang kecil, yang memang seronok jika dijadikan tempat berendam dan berpiknik ...

Air terjun yang kecil

Terdapat satu spot yang sangat sesuai dijadikan tempat mandi, seperti kolam. Tempat ini diapit oleh buah batu yang besar dan terdapat batu-batu kecil yang bleh dijadikan empangan seupaya air kolam menjadi dalam, seronok untuk mandi dan berendam ... 

Favourite spot tempat adik-beradik dan anak-anak sedara berpiknik

Aku membantu Abah membersihkan kawasan di tepi anak sungai; menebas dan membakar. Dalam aku begitu teruja menolong Abah membersihkan kawasan tepi sungai, tiba-tiba aku tergelincir di batu kecil. Ya Allah ... punyalah sakit. Hai, habis disiplinku nak exercise kerana lutut dah sakit. Nak berjalan pun berdengkot-dengkot dan solat pun atas kerusi, macam mana. Sejuk threadmill tak digunakan. Tak mengapa, tak dapat menebas pun boleh berehat-rehat jer bila ke sana ...

Sungguh tenang dan nyaman apabila berada di kawasan ini

... Alhamdulillah ... 

Allah memberi kami rezeki memiliki semua ini 
dan berpeluang menikmati keindahan alam ciptaan-Nya


Maal Hijrah, 1435


Pada lewat petang hari ini, Isnin 4 November 2013, maka berhijrahlah kita ke tahun baharu, 1435. Jika dilihat suasana di sekitar kita, tidak ada gembar gembur kedatangan tahun baharu mengikut kalender Islam ini, seperti apa yang berlaku apabila menjelangnya tahun baharu kalender Gregory. Adakah perkara-perkara atau kesedaran yang berkaitan dengan Islam ini tidak begitu relevan atau semakin terpinggir? Tidak berani aku nak mentelahnya kerana semua itu merupakan perkara yang sensitif untuk diperkatakan, apa lagi jika ia keluar daripada mulutku yang sememangnya banyak kekurangan dari aspek agama ini.

Cuma yang sering diperkatakan ialah doa hujung tahun dan awal tahun. Ramai yang mewar-warkan melalui pelbagai media agar membaca doa ini dan menyebarkannya. Sememangnya, ia perkara yang baik cuma secara peribadi aku merasai kita seharusnya sentiasa berdoa dan bermohon kepada Allah setiap masa, termasuk di hujung atau awal tahun, dengan sepenuh dan seikhlas hati. Aku tertanya-tanya juga kalau-kalau ada nas yang mengatakan kewajipan membaca doa-doa ini pada waktu yang tertentu itu. Apabila aku melayari internet tentang perkara ini, memang ramai ustaz dan para ulama' yang menyatakan doa-doa ini harus dibaca dan bukannya wajib. Hanya mereka yang arif sahaja dapat mengupas perkara ini; aku tak mampu. Yang mampu bagiku ialah menerima kenyataan itu secara terus.

Walau bagaimanapun, perkara yang baik patut diikuti. Padaku berdoa itu baik, maka berdoa sahajalah. Yang pentingnya ialah keazaman diri kita dalam penghijrahan kita melangkah ke tahun baharu ini. Biarlah diri kita pada hari-hari mendatang lebih baik daripada hari-hari semalam dan tahun baru ini, dan tahun-tahun seterusnya, lebih baik daripada tahun-tahun yang lepas.

Sebagai insan yang semakin lanjut usia, dan mungkin esuk atau lusa putus nyawa, aku sendiri mempunyai keazaman untuk sentiasa memperbaiki diriku walau dari aspek apa sekalipun. Semoga Allah sentiasa memberikan hidayah dan bimbingan kepada diriku, keluargaku dan sahabat-sahabatku. Semoga kemesraan dan hubungan silaturrahim kami kekal hingga ke syurga. Semoga kami sentiasa didorong untuk menghampirkan diri  kami kepada-Nya dengan lebih dekat lagi. Semoga Allah sentiasa memudahkan dan memberikan dorongan kepada kami untuk sentiasa melakukan amal ibadat dengan khusyu', kebaikan dan kebajikan, dengan penuh keikhlasan dan ketulusan. Semoga Allah menerima segala amal ibadah dan kebaikan serta kebajikan yang dilakukan itu dengan memberikan ganjaran yang sebaik-baiknya kepada kami. Semoga Allah permudahkan urusan dan perjalanan hidup kami di dunia ini. Semoga apabila sampai masanya kami dipanggil untuk kembali kepada-Nya nanti, Allah permudahkan kami menghadapi sakaratulmaut dan bertemu-nya dalam keadaan suci, rohani dan jasmani, dan dalam keredhaan-Nya.  Semoga Allah permudahkan perjalanan kami di alam kubur dan di alam barzakh. Semoga Allah mengizinkan kami dapat syafa'at Nabi Muhammad SAW dan menempatkan kami bersama-sama orang-orang yang beriman dan orang-orang yang diberi tempat di syurga-Nya. Aamiin Ya Rabb.