Saturday, August 24, 2013

Colonoscopy

Setelah lebih dua tahun aku didiagnosis dengan kanser kolorektal... Pada hari itu, 21 Ogos 2013 (Khamis), aku menjalani prosedur colonoscopy sebagai surveillance after anterior resection pada tahun 2011. Sebenarnya, doktor yang menjalankan pembedahan terhadapku dahulu sudah lama menyuruhku menjalani prosedur ini, tetapi aku rasa fobia betul nak menempuhinya, terutamanya untuk persediaan (bowel preparation) sebelum prosedur dijalankan.

Pada janji temu yang terakhir di HKL, pada bulan Mach dahulu, doktor onkologi menyediakan borang janji temu aku untuk menjalani prosedur colonoscopy di HKL. Memikirkan aku nak menjalani rawatan di HKL, lagi liat rasa hati. Aku menghubungi pakar bedahku dahulu dan akhirnya temu janji prosedur diadakan pada 21 Ogos tempoh hari. Dua hari sebelum itu, aku pergi ke HUKM untuk mengambil cecair pembersih usus yang perlu diambil sehari sebelum prosedur ...

Cecair pembersih usus

Dua botol cecair ini mesti aku minum sehari sebelum prosedur. Pada hari Rabu, aku mesti meminumnya pada pukul 7.00 malam diikuti dengan minum air kosong yang banyak. Walaupun nampak sedikit tetapi rasa dan kesannya, mmmm ... Semasa minum, rasanya alahai dan seperti nak termuntah semula dengan perut dan kepala rasa semacam. Setengah jam selepas meminumnya, aku dah mula berulang ke tandas. Pada pukul 9.00 malam, aku mesti mengambil portion yang kedua, dan sehingga tengah malam tandas aku punya! Nasib baiklah lepas tu aku stabil semula dan dapat tidur dengan lena.

Esuknya, pagi-pagi aku pergi ke HUKM (Klinik Endoskopi) untuk menjalani prosedur. Lama juga nak menunggu giliran. Sementara tu, sempat jugalah aku bertemu dengan Prof. Asma di klinik ENT. Memang sudah lama aku ingin menemui dan mengenali beliau kerana selama ini kami berhubungan melalui telefon dan SMS jer. Akhirnya, sampai juga hasrat di hati bertemu Prof. Asma yang mesra ...

Prof. Asma

Kira-kira pukul 11.30 pagi, aku dipanggil untuk menjalani prosedur. Selepas menukar kain, aku masuk ke bilik prosedur dan diberikan suntikan ubat bius. Rasa-rasanya separuh bius kerana aku separuh sedar apabila doktor menunjukkan gambar di skrin.

Malangnya, walupun semua nampak ok, di satu bahagian kolonku tidak begitu bersih dan masih ada najis melekat di situ. Oleh sebab bahagian itu tidak dapat dilihat, maka doktor memutuskan supaya prosedur ini diulang sekali lagi sebelum janji temuku dengan doktor onkologi pada hujung bulan September nanti. Walau bagaimanapun, dibahagian yang telah dibedah dahulu bersih ...

Colonoscopy report

Keadaan bekas pembedahan, cantik

Keadaan sebelum pembedahan, menggerunkan dengan ketumbuhan

Tunggu sekali lagi colonoscopy, huhu ...

Tuesday, August 6, 2013

Ramadhan 1434H: Penuh Rahmat dan Ujian

1 Ramadhan 1434H merupakan saat yang ditunggu-tunggu oleh semua umat Islam di dunia. Di Malaysia, bulan yang penuh berkat ini jatuh pada 10 Julai 2013. Rahmat bulan ini awal-awal lagi telah dapat dilihat apabila jerebu yang melanda negara ini hilang dan cuaca panas yang melanda dititipi juga dengan hujan, Alhamdulillah ...  

Bagi aku dan anak-anak, Ramadhan tahun ini pertama kalinya kami sambut tanpa Abah yang berada di platform. Kesihatanku pula akhir-akhir ini sering terjejas disebabkan oleh gastrik dan migrain. Keadaan ini serba sedikit menggugat emosi kami sekeluarga. Walau apapun halangannya, aku menguatkan semangat untuk menjalankan kewajipan berpuasa di bulan yang mulia ini.

Telah menjadi rutin dalam keluarga kami, setiap menyambut puasa keluarga di kampung akan membuat lemang dan rendang. Dengan hati yang tawar tanpa Abah , aku dan anak-anak balik jugalah ke kampung untuk bersama-sama membakar lemang dan membuat rendang ...

Lemang dilanggai

Untuk abah, kami dah siap simpan lemang dan rendang dalam freezer. Di malam pertama bersahur, Alhamdulillah ... aku dan anak-anak tidak patah selera. Aku berdoa semoga aku dapat menjalani ibadah puasa sebaik-baiknya.

Walau bagaimanapun, kita hanya merancang dan Allah melaksanakan. Pada hari pertama berpuasa gastrikku naik dengan begitu teruk sekali, namun aku gagahkan juga meneruskan puasa. Selepas berbuka, terasa lega sedikit. Pada esuk harinya aku tidak berpuasa dan ke klinik. Doktor mengesahkan darahku agak tinggi dan memberikan aku ubat darah tinggi. Insya-Allah, aku rasa ok sedikit. Akan tetapi, pada malamnya aku mengalami sakit kepala yang teruk lagi hingga ke pagi.

Aku agak panik kerana memandangkan aku ada kes kanser, terlintas juga di hati adakah kanser telah merebak ke otak? Ya Allah, aku berdoa agar itu hanya fikiran burukku sahaja. Aku menghubungi doktor yang membedahku dahulu untuk mendapatkan pandangan. Daripada penjelasan beliau, kemungkinannya sebenarnya sakit kepalaku itu disebabkan oleh kesan sampingan ubat darah tinggi yang ku ambil. Beliau menasihatkanku supaya bertukar kepada ubat lain. Alhamdulillah, sakit kepalaku tidak datang lagi setelah aku mengambil ubat lain yang disarankan itu. Dengan itu, 3 hari aku terlepas berpuasa. Selain itu, aku mencuba juga Sarimah SariAge yang disedekahkan oleh adik angkatku. Ini pun sebagai salah satu usahaku untuk menekan sel kanser tidak merebak ...


Semasa aku tidak sihat, dengan rahmat Allah anak-anak yang berpuasa tidak terlepas dapat menikmati makanan yang sedap-sedap dibekalkan oleh salah seorang sahabatku, Ita, yang tiap-tiap hari memberi kami juadah lauk-pauk dan kuih untuk iftar semasa ketiadaan Abah, yang selalu memasakkan makanan yang enak-enak untuk kami. Alhamdulillah, pada puasa keempat Abah dah balik ke darat dan kami dan Ita sering bertukaran juadah pula. Itulah salah satu nikmat di bulan Ramadhan ini.

Terima kasih kasih atas keprihatinan sahabatku Ita. Semoga Allah memberikan sebaik-baik pembalasan atas budi baikmu itu

Dengan adanya Abah di rumah dan kesihatanku yang baik, maka dapatlah kami sekeluarga menjamu tetamu beriftar di rumah kami. Alhamdulillah, adik ipar sekeluarga, adik angkat sekeluarga dan sebilangan sahabat GangLCE kami dapat sama-sama beriftar di rumahku ...

Menunggu waktu berbuka puasa

Sungguh meriah berbuka beramai-ramai

Hari-hari seterusnya, kesihatan yang baik mengizinkan aku dapat menjalankan kewajipan berpuasa dengan selesa walaupun Abah terpaksa bertugas ke Shanghai selama seminggu dan seterusnya naik ke platform sehingga 4 hari raya. Inilah juga pertama kalinya kami sekeluarga tidak dapat meraikan awal raya dengan Abah. Walau bagaimanapun, aku berasa puas kerana setelah Allah memberikan ujian yang agak getir pada awal puasa, namun aku dapat meneruskan ibadah ini sebaik-baiknya selepas itu, sehingga aku dapat khatam Al-quran pada malam 28 Ramadhan, Alhamdulillah. 

Pada malam-malam terakhir Ramadhan ini, aku sentiasa berdoa agar Allah menemukan aku dengan Lailatulqadar yang diburu oleh semua umat Islam, insya-Allah. Esuk ialah hari ke-29 puasa dan dijangkakan pada malam ini berlakunya Lailatulqadar. Semoga Allah mengizinkan aku dapat melakukan amal ibadah dengan sebaik-baiknya. Aku berdoa semoga aku dapat diketemukan lagi dengan bulan-bulan Ramadhan yang mendatang, dan segala amal ibadah yang aku pertingkatkan pada bulan yang mulia akan kekal dapat ku amalkan hingga ke hujung nyawa. Semoga Allah memudahkan aku dan keluarga mendekatkan diri kepada Allah-Nya dengan penuh keinsafan dan keikhlasan. Semoga Allah menerima segala amal ibadah kami, aamiin ...