Thursday, April 4, 2013

Pemeriksaan Susulan HKL, 22 Mach 2013

Pada hari Jumaat, 22 Mach 2013, ialah pemeriksaan susulan pertamaku di HKL pada tahun ini. Yang terakhir ialah pada bulan November 2012. Seminggu sebelum itu, aku telah melakukan ujian darah.  Keputusannya adalah seperti yang berikut: 

Blood count - glukos tinggi tu!

Liver Function Test - LFT - Alhamdulillah, ok

Renal Funtion Test - RFT - wey, tingginya kolesterol!

Air kencing - ok

Keputusan ujian darah pada kali ini lebih baik berbanding dengan yang lepas, cuma glukos dan kolesterol masih tinggi. Sebenarnya, aku amat risau menunggu keputusan LFT, namun Alhamdulillah ... bacaan Alkaline Phosphatese, yang sebelum ini tinggi, telah kembali normal. Dengan itu, aku tidaklah risau sangat dengan keadaan liverku, tapi kena sentiasa berjaga-jaga - don't take it for granted! Dengan usahaku melakukan senaman berjalan pantas sekarang ini diharapkan semuanya (kolesterol dan glukos) akan menjad normal juga nanti, insya-Allah.

Pada hari pemeriksaan susulan, kebetulan Abah berada di darat maka Abah yang menghantarku ke HKL. Janji temu adalah pada pukul 10 pagi, tetapi memikirkan kesesakan lalu-lintas ke HKL tu maka kami keluar awal. Memang telah dijangkakan kami akan melalui kesesakan lalu-lintas. Hai, bosannya. Untuk menghilangkan kebosanan itu, aku cuba menikmati suasana persekitaran Kuala Lumpur, dan inilah hasilnya ...

Cantik pulak tengok menara KL dan bangunan berkembar tu dari jauh

Kesesakan lalu-lintas nak masuk terowong 

Pengubat semasa kesesakan! hehe

Kami sampai di HKL lebih kurang pukul 9.30 pagi, dan Abah menurunkan aku di klinik onkologi dahulu sebelum mencari tempat parking. Seperti biasa, klinik ini memang ramai pesakit yang menunggu untuk berjumpa doktor onkologi. Semasa mendaftar, selalunya aku menunjukkan surat     jaminan daripada DBP, tapi kali ini aku menunjukkan kad pesara! Lepas mendaftar, puaslah menunggu giliran untuk berjumpa doktor pula. Sambil tu, aku membaca majalah. Dah penat dan habis membaca main pula game internet, adoi hai ....

Sampai ke satu peringkat, aku terasa badan seperti kaku duduk lama dan bosan. Tak boleh jadi ... aku bangun dan keluar melihat Abah yang menunggu di luar klinik. Tak cukup dengan bangun jer, berjalan ke hulu ke hilir dan membuat sedikit senaman streching! Perasan juga orang memerhati, tapi aku buat tak tahu jer!

Kira-kira pukul 12 lebih barulah giliran aku dipanggil masuk berjumpa doktor. Alhamdulillah, doktor yang memeriksa berpuas hati dengan status kesihatanku. Cuma, aku perlu membuat prosedur colonoscopy nanti sebelum pemeriksaan susulan yang berikutnya. Memikirkan nak menjalani prosedur ini, adoi hai ... Walau bagaimanapun, memandangkan keadaanku ok jer, maka pemeriksaan susulan adalah dalam masa 6 bulan yang akan datang, iaitu pada bulan September. Alhamdulillah ...

Tuesday, April 2, 2013

Kursus Persediaan Persaraan Staf PETRONAS

Suatu hari, Abah menelefonku dari platform bertanyakan sama ada aku nak menyertai kursus prapersaraan bagi staf non-executive Petronas ataupun tidak. Kursus ini perlu disertai oleh pasangan masing-masing. Memandangkan aku duk rumah aje, dah semestinya aku nak jer. Kursus diadakan selama tiga hari (Isnin-Rabu, 25-27 Mac 2013) di Bayview Beach Resort, Pulau Pinang. Wati dan Yana pun nak ikut. Wani tak dapat ikut sebab ada kelas dan Zafhri pun tak dapat ikut kerana ada kursus di NIOSH. Hari Ahad tengah hari kami gerak dari rumah dan sampai ke hotel petang. Terasa penat sebab dalam perjalanan cuaca panas, maka kami berehat saja dalam bilik. Pada malamnya barulah keluar makan. 

Hari Isnin pagi, lepas bersarapan, aku dan Abah mendaftar untuk kursus. Mungkin ramai yang hadir, maka kursus dibuat dalam dua kumpulan dan di dalam dua bilik kursus. Dalam kumpulan yang aku masuki terdapat 18 pasangan, yang majoritinya staf lelaki yang membawa pasangan masing-masing, kecuali dua orang yang tidak membawa pasangan. Kebetulan, sekali pula dengan En. Suhaili iaitu suami arwah Kak Kamsiah, bekas artis Dewan Bahasa dan Pustaka di Bahagian Reka Bentuk dahulu.


Kursus dibimbing oleh En. Rizal Ramli. Beliau memberikan panduan tentang perancangan untuk staf Petronas yang akan bersara supaya dapat mengendalikan ganjaran EPF yang akan diperolehi nanti. Aku sangat suka dengan kenyataan beliau "saya tidak mengajar abang-abang menjadi kaya, tetapi saya tak mahu abang-abang semua menjadi miskin". Wow!!! Bila difikir-fikirkan dan dilihat apa yang berlaku di sekeliling, memang ada kebenarannya. Ramai yang kehilangan duit EPF selepas bersara begitu sahaja kerana tidak diuruskan dengan cara yang bijak. En. Rizal juga memberikan beberapa contoh yang berlaku.

Dengan itu, beliau memberikan banyak maklumat dan pendedahan yang berkaitan dengan pelaburan wang dan banyak juga tentang pengurusan aset, termasuk juga yang berkaitan dengan wasiat, wasi dan penama. Dengan pengalaman beliau yang banyak dalam bidang pelaburan melalui pembelajaran beliau sebagai pemegang ijazah MBA dan pengalaman beliau sendiri, penyampaian beliau sangat berkesan dan bermanfaat kepada kami semua peserta. Cara penyampaian beliau juga tidak membosankan, penuh semangat dan jenaka. Inilah orangnya ...

En. Rizal Ramli keturunan "Jaia"

Mula-mula beliau memperkenalkan diri pun dah suspens. Beliau cakap beliau berketurunan "Jaia", macam Jakun dan lain-lain tu! Puaslah kami berfikir ingat kaum asli mana, rupa-rupanya Jawa + India! Bila bercakap kelemahan tentang orang Melayu (Jawa rumpun Melayu juga) atau India dia tak ngaku keturunan tu, bila bercakap tentang kekuatan pula dia mengaku! haha ... he's such a witty person. Yang paling best bila dia ada point mengenakan Abah sebab sepanjang kursus Abah suka mengacau dan mengenakan dia.  Last last, jadi kawan sebab dia pun dari Rincing. Aku menyarankan beliau menulis buku tentang segala apa yang telah disampaikan dan bersedia untuk membantu beliau nanti. Nampaknya, beliau sendiri berminat untuk menulis dan berkongsi pengetahuan beliau melalui buku yang akan diterbitkan nanti. Sebagai pembimbing kursus, beliau boleh menjual buku hasil tulisan beliau kepada peserta kursus nanti. Di hari akhir, aku dan Abah sempat juga bergambar dengan En. Rizal. 

Gambar kenangan dengan En. Rizal

Dalam satu slot lagi, kami diberi penerangan penjagaan kesihatan oleh Dr. Norman Mohd Norawi. Beliau banyak memberikan maklumat tentang penjagaan kesihatan pada usia emas melalui penjagaan pemakanan, bersenam dan menjalani gaya hidup yang sihat tanpa stres. Banyak maklumat tambahan yang ku perolehi daripada Dr. Norman. Aku berpeluang menanyakan beberapa soalan tentang ubatan dan kesihatan. Aku dapat lebih memahami dengan apa yang telah kuketahui melalui pembacaan sebelum ini. 

Dr. Norman yang mesra

Beliau juga telah membawa empat judul buku hasil tulisan beliau, dan aku membeli kesemuanya. Kesemua buku ini diterbitkan atas usaha beliau sendiri. Aku tidak keberatan untuk menawarkan khidmat penyuntingan kepada beliau dalam tulisan beliau yang akan datang, dapat juga aku membuat amal jariah.

Buku-buku tulisan Dr. Norman

Di akhir sesi beliau, aku dah Abah tidak melepaskan peluang untuk mengabadikan gambar kenangan

Bergambar kenangan

Peserta yang lain sempat juga bergambar. Walau bagaimanapun, aku hanya ada gambar-gambar yang berikut saja ...

Sebilangan peserta kursus, staf Petronas.

Sebilangan isteri peserta.

Di akhir kursus, kami semua amat berpuas hati dengan apa yang kami dapat daripada kursus ini. Secara peribadi, aku sendiri sangat berpuas hati kerana banyak maklumat yang selama ini tidak diketahui dapat digarap dan difahami. Dari segi tempat kursus pula, ia diadakan di resort tepi laut yang nyaman dengan staf yang mesra. Dan, yang paling aku kagumi ialah inilah pertama kali aku ketahui kursus prapersaraan perlu dihadiri oleh pasangan masing-masing, maka setiap pasangan dapat mengetahui maklumat yang sama dan mengendalikan kehidupan selepas bersara bersama-sama dengan lebih terancang. Aku bersyukur kerana dapat peluang keemasan ini, Alhamdulillah. Semoga apabila Abah bersara tahun depan, kami dapat meneruskan kehidupan usia emas kami dengan selesa, sihat dan penuh terancang untuk diri kami dan keluarga, aamiin ...